Salam..
Sepatutnya saya tulis hikmat puasa awal Ramadhan tapi dah nak masuk hari ke 9 baru nak menulis, walau bagaimanapun muga dapatlah sedikit sebanyak dapat manfaatnya.
Puasa itu banyak mempunyai hikmat atau rahsia sama ada di dalam segi rohaniah,jasmaniah dan kemasyrakatan. Dalam segi kerohaniah ia boleh menundukkan nafsu yang jahat. Yakni naluri atau perasaan yang mendorongkan kepada kejahatan. Sebenarnya ibadat ini bukan sahaja terdapat di dalam syariat Islam bahkan di dalam syariat-syariat lain ada mempunyai ibadat ini walaupaun caranya berlainan.
Puasa sebagai latihan rohaniah yang mana tiap-tiap muslim menahan diri daripada nafsu perut, nafsu kejantinaan dan untuk mencegah daripada moral yang rendah. Seseorang muslim yang benar-benar berpuasa tidak mencela. tidak mencaci, tidak mengumpat, tidak bercakap kotor dan tidak mengikut keinginan nafsu yang rendah. Inilah cara paling berkesan untuk membentuk peribadi yang mulia.
Demikian juga puasa boleh melemahkan tekanan nafsu yang keras, kerana orang sentiasa kenyang akan bertambah keras syahwatnya. Jadi dengan ibadat ini dapat menurunkan tekanan nafsu tersebut.
Oleh itu Rasulullah s.a.w. memberi bimbingan terhadap orang-orang muda yang kuat nafsu supaya berkahwin jika mereka mempunyai belanja dan jika tidak mempunyai belanja untuk berkahwin hendaklah berpuasa, kerana puasa itu boleh mengurangkan tekanan syahwat.
Dalam segi kedoktoran dan kesihatan serta rawatan penyakit memang puasa itu sangat berfaedah . Perut manusia itu seperti atau diibaratkan sebagai engin motokar. Maka jika enjin itu sentiasa berjalan tentulah cepat rosak,begitulah juga perut dan alat-alat pencernaan manusia perlu diberi kerehatan selama sebulan dalam setahun guna membersih dan membetulkan perjalanan alat-alat pencernaan,jika tidak akan cepat terkena penyakit.
Puasa juga memberi kesan mengurangkan berat badan atau mengurangkan gemuk,kerana apabila banyak makan tentulah bertambah gemuk dan bertambah banyak nisbah di dalam tubuh. Kegemukan yang memlebihi dari bentuk tubuh akan membawa banyak penyakit yang merbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya.
Al-Tabrani telah meriwayatkan hadits daripada Abu Hurairah Radiallah Huanhu, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya: Berperanglah kamu nescaya dapat rampasan perang, berpuasalah kamu nescaya kamu sihat dan musafirlah kamu nescaya kamu senang.
Faedah-faedah dari segi kemasyarakatan ialah memupuk perasan rahmat dan kasihan belas terhadap golongan miskin atau orang yang tidak mampu, dengan berpuasa supaya tiap-tiap orang muslim merasa lapar dan dahaga dalam jangka waktu-waktu tertentu. Dengan ini maka timbullah rasa belas kasihan terhadap masyarakat yang miskin.
Nabi Yusuf a.s. sentiasa berpuasa walhal beliau menjadi pengerusi perbekalan negara Mesir pada zamannya. Ada orang bertanya kepadanaya:”Kenapa tuan berpuasa padahal tuan menjadi pengerusi perbekalan negara? ” Jawab beliau ” Aku takut kekenyangan kerana kekenyangan itu boleh melupakan nasib orang-orang yang lapar”
Di antara hikmat puasa dalam segi rohaniah juga ialah memuliakan bulan Ramadhan, kerana bulan inilah mula diturunkan Al-Quran Al-Karim kepada Baginda Rasulullah s.a.w. Allah Taala menggalakkan tiap-tiap muslim supaya melakukan ibadat yang lebih dan mewajibkan puasa pada bulan ini,untuk menambah lagi ganjaran pahala kepada hambaNya dan sebagai mengambil sempena dengan mula-mula penurunan Al-Quran yang menjadi perlembagaan hidup bagi manusia untuk mencapai kebahagiaan di dalam dunia dan akhirat.
Di antara hikmatnya yang lain manguatkan peribadi. Seorang pengarang berbangsa Jerman bernama Jeharadat menulis buku yang mana di dalam tulisannya beliau memuji hikmat puasa, di antara lain katanya: ” Untuk menguatkan perasaan dan jiwa hendaklah jadikan puasa itu sebagai pokok atau dasar hidup, kerana ianya menjadi cara yang berkesan untuk meninggalkan pengaruh rohaniah ke atas jasmaniah. Dengan demikian manusia boleh menguasai dirinya ia tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan. Amin
Muga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.